Make your own free website on Tripod.com

Majalah Mastika

Majalah RIAS
Majalah Mastika | Dewan Kosmik | Dewan Kosmik2 | Dewan Kosmik3 | Berita Minggu | Berita Minggu2 | Berita Minggu3 | Berita Minggu4 | Majalah RIAS | Majalah RIAS2 | Mingguan Wanita | Mastika3 | Mastika2 | Mastika1 | Majalah Perempuan | Harian Metro | Dewan Siswa
Artikel Majalah RIAS - No. 1

Majalah RIAS - Julai 1999
Ruangan Kecantikan

COLOUR VIBRATION THERAPY: 
Rawatan Alternatif 2000
Oleh: Azimah Omar

Masih ingat lagi akan petua orang tua-tua apabila seseorang itu menghidap beguk di leher? Biasanya bahagian bengkak di leher akan di sapu nila (sejenis bahan pewarna kebiruan diguna untuk memutihakan kemeja putih) dan dua tiga hari kemudian bengkak tersebut akan hilang. Ramai mengaku bahawa nila sebagai ubat alternatif lebih berkesan, murah dan mudah daripada antibiotik dalam mengatasi masalah beguk ini?

Apa sebenarnya kehebatan nila dalam penyembuhan penyakit tersebut? Mungkinkah wujud perkaitan rapat antara warna dan tubuh anda?

Menurut Dr.Norhisham Wahab pensyarah kinesiologi gunaan, hal ini boleh dijelaskan menerusi pendekatan Terapi Getaran Warna atau Colour Vibration Therapy. "Warna memainkan peranan penting dalam menyembuh, memberi tenaga dan menyeimbangkan tenaga pada tahap-tahap tubuh yang berbeza. Setiap elemen kimia dan benda-benda hidup di dunia ini mempunyai ciri-ciri rajah tenaga warnanya tersendiri. Ini termasuk tubuh badan anda dimana bahagian kepala dinaungi warna-warna lembayung di mana putih diibaratkan kunci mahkota kepada segala warna," terang Dr. Norhisham.

Dr. Norhisham juga merupakan seorang saintis, pakar kinesiologi serta pengasa perubatan Terapi Getaran Cahaya (Colour Vibration Therapy) yang pertama di Malaysia. Beliau merupakan lulusan Open International University, Jerman. (Kinesiologi digunakan dalam bidang perubatan tradisional sebagai satu kaedah yang sangat berkesan dalam mengenal pasti dan membetulkan tekanan serta ketidakseimbangan dalam badan.Ini dilakukan menerusi ujian otot bio-maklum balas atau muscle testing bio-feedback).

Kinesiologi diguna secara meluas di luar negara. "Pengamal kinesiologi tidak perlu bertanya pada pesakit mengenai penyakitnya, hanya dengan mengenal pasti punca melalui simptom yang dialami pesakit. Sebenarnya perkataan ‘penyakit’ itu sendiri tanpa disedari boleh melemahkan sistem imunisasi seorang pesakit dan menyukarkan penyembuhan," kata Dr. Norhisham.

Seterusnya Dr. Norhisham berkata bahagian leher diliputi warna kebiru-biruan yang menjadi kawalan sistem immune tubuh anda dari serangan virus. Dan warna ini akan terganggu apabila seseorang itu menghidap penyakit seperti beguk maka, nila digunakan bagi mengembalikan warna biru yang terganggu di bahagian ini, jelas Dr. Norhisham. Warna hijau segar meliputi dari bahagian dada hingga pangkal perut yang mengawal perasaan, sementara warna kuning meliputi bahagian perut. Bahagian pinggul pula dilingkari warna merah.

Sambungnya lagi, warna merah lebih sesuai dipakai pada bahagian pinggang ke bawah dan bukan sebaliknya. Begitu juga dengan pemakaian inai di jari dan kadangkala di tapak tangan atau kaki pengantin dikatakan boleh merangsang getaran hormon kesuburan lelaki dan wanita.

Warna merah sering dikaitkan dengan warna penyakit kerana itulah orang tua-tua menyuruh kita masuk ke dalam rumah ketika menjelang malam (maghrib) kerana langit ketika itu berwarna kemerah-merahan atau warna amaran. Jika begitu, mesej apakah yang ingin anda sampaikan apabila memakai blaus merah?

Terapi Getaran Warna: Merawat dan Penyeri Wajah
Terapi Getaran Warna atau Coloru Vibration Therapy dikatakan kaedah rawatan kesihatan dan kecantikan yang pertama diperkenalkan di negara ini. Ia boleh dianggap sebagai kaedah rawatan terkini alaf 2000 kerana ia berkesan, murah dan tiada kesan sampingan serta boleh mengubat pelbagai penyakit termasuk barah dan ketagihan. Terapi ini amat terkenal di negara-negara Barat yang maju malah, Dr. Norhisham pernah cuba memperkenalkan barangan seumpamanya buatan England disini. Namun usaha ini tidak berkesan apabila beliau menyedari bahawa rumusan yang digunakan tidak sesuai dengan geografi negara ini.

Hari ini, Dr. Norhisham telah menghasilkan rumusan Terapi Getaran Warna dengan memerangkap tenaga getaran tumbuh-tumbuhan tempatan menerusi teknologi canggih dimakmal German Malaysian Scientific Ideas (GMSI), Kuala Lumpur. Himpunan barangan rawatan Terapi terdiri daripadaa 20 botol ‘butir gula tebu’ dengan rumusan getaran warna pelbagai tahap untuk bahagian anggota tubuh tertentu, sebotol minyak aromaterapi dan sebotol kecil pencuci wajah.

Butir-butir gula tebu ini mengandungi getaran tenaga warna pelbagai tahap yang diperangkap secara saintifik bagi merawat dan menyeimbangkan tenaga dalam tubuh yang terjejas akibat sesuatu penyakit. Anda hanya perlu kemam ‘gula tebu’ diatas mengikut arahan pengamal terapi secara tetap dan penyembuhan bergantung kepada tahap penyakit anda. Mudah bukan?

Getaran Tenaga dan Warna
Dunia di antara dua cahaya atau sempadan warna sebenarnya diukur dalam Islam sebagai ‘peralihan waktu sembahyang’. Waktu-waktu peralihan ini adalah permulaan cahaya-cahaya baru dengan warna mulai terbentuk. Penyembuhan atau penyakit paling aktif berlaku dalam tempoh ini, contoh subuh dan menjelang malam. Maka warna adalah kuasa rawatan yang amat berkesan kerana tubuh anda diselubungi dan dipenuhi dengan tahap-tahap meridian kuasa warna ‘pelangi’ yang paling menakjubkan.

Jika anda mengalami gangguan tiroid, waktu paling berkesan untuk kemam ‘gula tebu’ ialah antara 6.00 hingga 7.30 pagi di mana langit berwarna kebiru-biruan, warna bahagian kerongkong.

Sambung Dr. Norhisham, "Setiap orang mempunyai tahap getaran tenaga yang tersendiri, sama ada tinggi atau rendah. Setiap orang juga dapat mengawal tahap getarannya bagi menyamai tenaga orang yang sedang bercakap dengannya agar perbualan berjalan lancar. Pemikiran positif pula memberi tahap tenaga getaran yang tinggi, begitu juga sebaliknya".

Sementara penyakit merupakan tenaga getaran yang rendah. Untuk mengembalikan tahap getaran yang tinggi, anda perlu ceria, bersyukur dan yakin dengan kehidupan. Kini anda pasti faham kenapa tukang andam sering menyuruh pengantin supaya mengunyah sirih ketika bersanding bagi mengatasi perasaan gemuruh, degupan jantung yang kencang! (Bahagian jantung dinaungi warna hijau).

Tumbuhan dan Tubuh Anda
Kepesatan hidup moden membuatkan kehidupan hari ini serba sukar, menyebabkan ramai yang dilanda tekanan perasaan atau ketidakharmonian perasaan. Setiap satu bentuk ketidakharmonian akan mengundang satu penyakit tetapi tidak kepada tumbuhan. Tumbuhan walaupun dicemari tetap dapat menyesuaikan diri dengan alam sekitar untuk terus hidup dengan penuh bertenaga.

Maka tidak hairanlah jika tumbuhan diperlukan untuk menstabilkan ketidakharmonian dalaman yang anda alami. Sumber tenaga wajib dicari dan dimanafaatkan sebagai pengganti kepada tenaga yang telah bersatu didalam tenaga tumbuh-tumbuhan.

Cahaya dan warna merupakan nadi kehidupan, tanpa cahaya, kehidupan tidak dapat diteruskan. Tenaga daripada cahaya yang disimpan oleh tumbuh-tumbuhan akhirnya diguna sebagai makanan oleh manusia untuk hidup. Adalah dipercayai frekuensi warna sel tumbuhan dinilai sama dengan frekuensi warna sel tubuh anda. Sebab itulah warna memainkan peranan amat dalam menyeimbangkan sel untuk penyembuhan penyakit.

Pelbagai bencana dan pencemaran alam memusnahkan tumbuh-tumbuhan namun bagai ada suatu kuasa yang penuh bertenaga, ia terus hidup. Ini ialah cara semulajadi serta merupakan kekuatan tumbuh-tumbuhan. Maka anda boleh memanfaatkan tumbuhan sebagai penyelesai bagi kekurangan imuniti yang menjadi punca penyakit kepada seseorang.

Contoh, bunga-bunga kecil yang tumbuh meliar di kawasan pergunungan atau tanah tinggi mempunyai getaran tenaga yang amat kuat dan sesuai untuk mengembalikan tahap kerohanian seseorang ke tahap normal. Namun, getaran tenaga yang dapat diperangkap ini hanya sesuai dan berkesan dengan mereka yang tinggal di kawasan tersebut. Ini bermakna sumber rawatan kecantikan dari pergunungan Swiss tidak mungkin sesuai dengan penduduk Malaysia.

Terapi Getaran Warna
Getaran tenaga ditentukan oleh warna sebagai ukuran ketetapan bagi keperluan tenaga yang harus diganti semula. Misalnya, jika organ hati anda rosak atau dijangkiti kuman atau dibebani toksin bermakna frekuensi getaran warna sel organ tersebut telah tidak seimbang. Maka getaran warna dengan frekuensi yang tepat sebagai penstabil diperlukan serta-merta bagi membuang bahan asing yang tidak sepatutnya berada disitu.

Getaran ini ibarat rangka atau sistem yang akan merawat sel yang berada pada paras tenaga yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Rumusan Terapi Getaran Warna membentuk keseimbangan secara serta-merta pada bahagian-bahagian tubuh yang sakit (atau tidak seimbang) pada setiap tahap tubuh.

Semua unsur kimia dengan struktur atom yang longgar bergetar pada frekuensi yang tidak tetap. Apabila pengimbang tenaga Terapi Getaran Warna diguna menerusi penerimanya (kulit) maka pineal (otak) anda mula menganalisis untuk menerima dan menghubungkan semula ke bahagian sasaran yang tidak seimbang. Bahagian tubuh yang lemah boleh diuji di bahagian titik akupuntur dengan alat penguji pengimbang tenaga rintangan elektrik. Hasil ujian akupuntur menunjukkan keseimbangan serta-merta pada bahagian terjejas.

Bagi memastikan anda sentiasa berada dalam getaran tenaga yang tinggi, anda perlu tenang dan yakin dengan diri anda. Keresahan perlu dielakkan kerana ia menimbulkan keracunan atau bebanan toksin kepada blok dalam sistem limpa dan sistem saraf. Begitu juga dengan segala perasaan negatif atau perbuatan buruk seperti penyesalan, dengki khianat dan buruk sangka boleh mencetus satu tenaga asing dalam badan seterusnya, mendatangkan penyakit kepada anda.

Mandi Bunga
Tenaga Terapi Getaran Warna dicipta daripada tenaga tumbuh-tumbuhan yang diperolehi daripada matahari dan cahaya balikan bulan. Petiklah bunga dengan warna keseimbangan penyakit yang anda alami. Rendam dalam air untuk merakamkan tenaga yang akan dipecahkan dalam bentuk getaran gelombang. Tenaga bunga yang sudah dipindahkan ke dalam air itu amat berkait rapat dengan misteri mandi bunga yang menjadi amalan pelbagai budaya di seluruh pelosok dunia.

Enter supporting content here