Make your own free website on Tripod.com

Majalah Mastika

Mingguan Wanita
Majalah Mastika | Dewan Kosmik | Dewan Kosmik2 | Dewan Kosmik3 | Berita Minggu | Berita Minggu2 | Berita Minggu3 | Berita Minggu4 | Majalah RIAS | Majalah RIAS2 | Mingguan Wanita | Mastika3 | Mastika2 | Mastika1 | Majalah Perempuan | Harian Metro | Dewan Siswa
Artikel Mingguan Wanita - No. 1

Oktober 1999
Ruangan Kecantikan

Bermain Warna dan Getaran 
Oleh: Laila Halilah Nasir

Mengenali warna diri, sebenarnya anda mula mengenali personaliti anda yang sebenar – Dr. Norhisham Wahab.

Bolehkah kita merawat penyakit dengan warna? Persoalan ini sudah lama bermain difikiran saya. Kebetulan pula mendapat jemputan daripada Dr. Norhisham Wahab yang mempunyai Klinik Colour Vibration Therapy, ini bermakna segala kemusykilan akan terjawab. Seperti yang telah saya duga setelah menghabiskan hampir 2 jam bersama, jawapan yang saya cari akhirnya saya temui.

"Memang benar warna boleh menjadi penawar paling mujarab," tegas Dr. Norhisham Wahab ketika saya mengajukan soalan pertama. Walaupun sukar difahami namun sedikit sebanyak penjelasan beliau telah berjaya menyingkap pelbagai rahsia warna yang selama ini tidak banyak diketahui umum.

Bermain dengan warna-warna alam bagi Dr. Norhisham bukan sekadar terpesona dengan keindahannya malah warna-warna ini terutamanya yang diperolehi dari bunga-bungaan telah berjaya menemukannya dengan formula yang dianggap rasional dan releven berkisar tentang kehidupan seharian di dalam Colour Vibration Therapy.

"Saya menghabiskan lebih tiga tahun untuk membuat kajiselidik sehinggalah saya bertemu dengan formula yang benar-benar sesuai untuk dijadikan perubatan alternatif kepada manusia. Perubatan Colour Vibration Therapy telah melalui satu kajian yang cukup menyakinkan dengan menggunakan konsep warna dan getaran dan telah diterima pakai dengan cukup jayanya dalam masyarakat barat terutamanya di Jerman.

"Oleh itu saya berhasrat mendidik masyarakat di dalam ilmu perubatan ini agar ia menjadi amalan untuk mengubati diri sendiri yang dianggap biasa tetapi ia amat diperlukan untuk menjamin sistem penjagaan kesihatan kekeluargaan agar lebih sempurna," katanya menerangkan tujuan dan matlamat pembabitannya dalam bidang yang dianggap baru di negara ini.

Memang sukar untuk memahami apa yang diperkatakan oleh Dr. Norhisham. Bercerita tentang halusinasi, kronik dan penyakit biasa yang seringkali menjadi wabak dengan proses perawatan menggunakan warna-warna alam semakin membingungkan. Menurutnya dengan klinik yang dibuka dia boleh mengesan penyakit didalam tubuh manusia hanya dengan mengetahui kekuatan warna seseorang. Ia dilakukan dengan sentuhan tangan pesakit kepada sekeping kad atau kertas berwarna.

"Apabila anda hendak mengenali diri anda, anda dinasihatkan bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan. Mengenali warna diri, sebenarnya anda akan mula mengenali personaliti anda sebenar. Anda juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikit, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda yang berkait rapat dengan inspirasi warna.

"Umumnya ramai menyukai warna-warna tertentu sebagai kegemarann tetapi tanpa disedari itulah lambang warna kelemahan yang sedang dilaluinya," kata beliau.

 

Berilhamkan amalan mandi bunga

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang Colour Vibration Therapy, menurut Dr. Norhisham, segalanya bermula dengan tidak disengajakan.

Beliau yang berkelulusan Sains Fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tujuan awal kajiannya ialah mengenai nutritions dan kesannya terhadap pemakanan. "Asalnya saya mula mengkaji tengang perubatan ini bersama pakar pemakanan mengenai tabiat pemakanan herba."

"Setelah bosan dengan pengalaman rakan-rakan di dalam bidang perubatan yang masih tidak dapat mencari kesimpulan kenapa ada penyakit yang tidak sembuh hingga akhirnya membawa mereka kepada perubatan tradisional terutamanya bomoh, saya akhirnya bertekad untuk melakukan kajian bersama beberapa pakar dari Jerman," katanya.

Menurut Dr. Norhisham banyak tenaga, masa dan wang ringgit dihabiskan namun dia puas kerana akhirnya dia menemui sesuatu yang selama ini tidak pernah terlintas di fikirannya.

Berilhamkan amalan mandi bunga, Dr. Norhisham kini berjaya mengadaptasikan amalan berkenaan kepada bentuk yang lebih moden dan sesuai untuk semua peringkat manusia.

"Saya cari formula kaedah mandi bunga dengan cara lebih moden dan saya berhasil. Inilah buktinya" kata Dr. Norhisham sambil menunjukkan pati aromaterapi yang dihasilkan.

"Aromaterapi yang dibuat dari pati bunga dan pati tumbuhan bertindak sama seperti perawatan mandi bunga yang dilakukan oleh para dukun dan bomoh".

"Ingat lagi cerita mandi bunga dan nila yang disapu di pipi bila kita kena beguk. Sebenarnya warna biru merupakan warna penyembuh. Begitu juga dengan warna kuning seperti kunyit, oren dan emas. Emas itu boleh meneutralkan asid. Sebab itu orang perempuan digalakkan memakai emas," ceritanya cuba menerangkan peranan warna yang tidak diketahui ramai.

"Saya juga telah berjaya mengeluarkan produk hasil dari kombinasi formula yang dicipta untuk merawat penyakit berdasarkan warna-warna yang ditemui dari bunga-bungaan".

"Kaedahnya mudah iaitu dengan menggunakan konsep pengubahan tenaga dengan memerangkapnya kedalam minyak pati bunga aromaterapi yang mudah meresap ke kulit manusia".

"Kita menggunakan kulit sebagai perantara utama kerana kulit diakui sebagai reseptor terbaik untuk menghantar mesej ke pineal (otak). Pineal bertindak sebagai prisma atau berlian bercahaya memecahkan getaran itu kepada berbagai warna dengan frekuensi-frekuensi yang berbeza yang akhirnya akan mengembalikan tubuh badan kepada keadaan normal," jelas beliau lagi.

 

Petiklah bunga dengan warna keseimbangan penyakit yang anda alami

Dunia penuh dengan pencemaran. Berbagai bencana yang memusnahkan tumbuh-tumbuhan tetapi sesuatu yang mengkagumkan dalam jangka masa yang singkat tumbuh-tumbuhan dengan suatu kuasa yang penuh bertenaga mampu terus hidup. Ini ialah cara semulajadi untuk mengembalikan keseimbangan.

"Itulah satu kekuatan yang ada pada tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber imuniti bagi menghadapi pencemaran dan masalah alam sekitar. Jadi saya memanafaatkan tumbuh-tumbuhan sebagai penyelesai bagi kekurangan imuniti yang menjadi punca penyakit kepada seseorang".

"Umpamanya bunga-bunga kecil yang tumbuh meliar di kawasan ergunungan atau tanah tinggi mempunyai getaran tenaga yang amat kuat untuk menyesuaikan atau mengembalikan tahap spritual seseorang kembali normal. Tenaga itu pasti mempunyai getaran di mana geteran itu ditentukan oleh warna sebagai ukuran ketepatan bagi keperluan tenaga yang harus diganti semula".

"Tenaga Colour Vibration Therapy ini dicipta daripada tenaga tumbuh-tumbuhan yang dimanfaatkan daripada matahari dan cahaya balikan daripada bulan. Petiklah bunga dengan warna keseimbangan penyakit yang anda alami. Rendamkan kedalam air untuk merakamkan tenaga yang akan dipecahkan dalam bentuk getaran gelombang. Tenaga getaran bunga yang sudah dipindahkan ke dalam air itu amat berkait rapat dengan misteri mandi bunga yang menjadi amalan berbagai budaya di seluruh pelusuk dunia," katanya lagi.

Menurut beliau Colour Vibration Therapy merupakan salah satu cabang perawatan Hameopati. Keadahnya tidak begitu rumit dan sangat praktikal. "Saya buka peluang ini kepada semua orang termasuk surirumah dan ibu-ibu yang mempunyai banyak masa lapang. Saya bercadang untuk melatih lebih ramai golongan profesional dalam bidang Colour Vibration Therapy ini," tambah beliau dengan yakin.

Berasal dari Negeri Sembilan, Dr. Norhisham kini sedang bergerak ke seluruh negara bagi memberi ceramah dan mengadakan kelas-kelas khusus kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengamal perubatan Colour Vibration Therapy.

"Saya percaya satu tahap nanti masyarakat di dunia ini tidak lagi akan merasa pelik dengan pelbagai jenis penyakit dan kaedah perawatannya," tambahnya lagi.

 

Enter supporting content here