Menjadi perintis dalam bidang profesional amat
jarang dilakukan anak tempatan. Jika ia terlaksana, perkembangan itu mampu membuka mata masyarakat luar tentang kehebatan
serta kelebihan yang dimiliki orang kita.
Dalam zaman serba mencabar dan penuh persaingan ia menuntut kita meningkatkan kemahiran
diri serta kelebihan berbanding orang lain supaya kelihatan lebih menonjol.
Rencana lelaki kali ini berkongsi usaha, Dr Norhisham Wahab, 41, yang menjadi perintis
dalam teknik perubatan Terapi Getaran Warna di negara ini. Usahanya merantau dan melakukan kajian di luar negara hampir sepuluh
tahun memberikan ruang kepadanya memperkenalkan teknik perubatan yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat
"Saya mengkaji daripada pelbagai aspek perubatan dan akhirnya berjaya mencipta formula
mengatasi masalah kesihatan yang sering dihadapi masyarakat, ia menggunakan terapi warna yang pertama di negara ini," katanya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mempunyai pendidikan dalam kejuruteraan fizik melakukan kajian berterusan menghasilkan formula
ubatnya melalui kajian di beberapa universiti Eropah berkaitan dengan konsep getaran, cahaya dan bunyi untuk merawat pesakit.
Menurutnya, kaedah perubatan itu turut membantu kemampuan seksual lelaki terutamanya
berkaitan rangsangan seksual dan penambahan sperma. "Teknik perubatan ini satu lagi rawatan alternatif kepada lelaki dan wanita
yang berhadapan dengan masalah kesuburan dengan pengambilan cecair yang sesuai untuk mengatasi masalah mereka," katanya lagi.
Kesungguhannya dalam bidang perubatan itu terbukti dengan penubuhan 11 klinik termasuk
di Johor, Kelantan dan Kedah yang diuruskan 70 tenaga mahir.
Beliau turut menghasilkan buku mengenai konsep getaran warna dan bercadang menubuhkan
pusat latihan dalam bidang berkenaan.