Artikel Dewan Siswa - No. 1
Januari 2001
Menggali Rahsia Alam
Oleh Dr Norhisham Wahab
Sejak kecil saya sangat mesra dengan kehidupan alam semulajadi.
Suasana dan kitaran alam sering membuatkan saya berfikir tentang alam secara fizik dan metafizik. Pelbagai persoalan menerjah
dalam kotak fikiran saya - kenapa gerhana bulan berlaku, mengapa langit bertukar tatkala senja, mengapa angin bertiup, bagaimanakah
berlakunya perubahan cuaca, dan sebagainya.
Persoalan-persoalan ini menyebabkan saya suka menyendiri, mengelamun,
dan tidak banyak bercakap. Saya banyak menghabiskan masa berfikir. Saya kerahkan otak untuk mencari jawapan punca berlakunya
segala fenomena alam itu. Siapakah yang menggerakkannya, apakah kaitannya dengan hidupan lain. Namun dalam usia muda dan pengalaman
yang begitu cetek, akal saya tidak dapat menjangkau rahsianya.
Pada tahun 1970, ketika saya berumur 10 tahun saya mula mendekati
alam mistik. Ayah menjadi seorang bomoh setelah meninggalkan jawatan kerajaan. Saya mula mengetahui tentang mandi bunga, penggunaan
tanah liat, beras kunyit, sirih dan sebagainya. Saya sering mengikuti ayah ke hutan mencari bahan-bahan untuk mengubat orang
sakit. Satu hari ketika mengikutinya ke hutan saya lihat ayah mencabut sebatang akar yang kelihatan yang amat sukar untuk
dikeluarkan dari dalam tanah. Saya hairan bagaimana ayah boleh mencabutnya dengan begitu mudah sekali. Saya berkata kuatnya
tenaga ayah. Ayah cuma menjawab, "Ayah guna tenaga keyakinan." Katanya lagi, apabila ada keyakinan mencabut akar sebesar itu
ibarat menarik batang taugeh sahaja. Daripada situlah saya belajar erti keyakinan tanpa keraguan.
Saya membesar sebagai seorang pemerhati. Pekerjaan ayah sebagai
bomoh melatih saya meneroka perkara yang pelik-pelik. Pesakit datang berjumpa ayah dengan bermacam-macam penyakit. Ada yang
sakit jantung, kanser, kencing manis, serta yang mengalami masalah mental dan halusinasi. Saya hairan bagaimana ayah merawat
hanya dengan mengibas pesakit dengan kain. Kini saya telah tahu jawapannya. Setiap penyakit berkait dengan tahap psikologi.
Kibasan kain itu memotong aliran stress dalam badan seseorang.
Saya bukan sahaja mengkaji benda-benda pelik, malahan saya sendiri
dikatakan orang pelik juga. Hal ini disedari ketika berumur 12 tahun. Saya pernah terjatuh daripada bangunan setinggi 3 tinggkat.
Dengan kuasa Allah Taala, tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap diri saya. Saya berada dalam keadaan sedar ketika badan
saya melayang kebumi. Saya juga pernah terlibat dalam satu kemalang yang dahsyat. Mereka yang terlibat mengalami cedera parah
dan ada yang meninggal dunia. Tetapi, Alhamdulillah saya tidak mengalami apa-apa kecederaan. Semasa kemalangan itu berlaku,
saya berada dalam kedaan penuh sedar. Saya boleh ingat satu-persatu setiap yang berlaku sehinggalah berlakunya kemalangan
itu.
Deria saya terlalu sensitif dan sering diuji. Tidur saya selalu
didatangi mimpi-mimpi yang kemudiannya cuba saya tafsirkan sendiri. Saya dapatkan rasakan, jika sebelum tidur saya tidak mandi
atau sekurang-kurangnya membasuh kaki, alamatnya saya akan bermimpi sesuatu yang ngeri seperti jatuh ke dalam gaung. Kadang-kadang
saya boleh nampak dan dengar apa yang orang lain tidak boleh. Sebab itulah orang tua kata saya ganjil.
Beralih kepada pendidikan, saya mendapat pendidikan awal di Kuala
Lumpur, tempat kelahiran saya sendiri. Ketika masuk ke tingkatan satu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Aminuddin Baki.
Sebaik tamat tingkatan enam, saya ke Eropah dan bekerja di sebuah syarikat yang banyak membuat kajian dalam bidang elektromagnetik.
Saya kira inilah langkah terbaik saya kerana saya benar-benar ingin tahu tentang kuasa alam semulajadi terhadap kehidupan,
khususnya manusia. Saya bekerja sambil belajar di syarikat itu. Selama lapan tahun saya berusaha menyiapkan tesis tentang
frekuensi bunyi yang membentuk getaran untuk mengimbangi sel dalam badan. Pada tahun 1994, saya ke Sri Lanka mengambil Ph.D
di Open International University dalam bidang ini.
Dari kecil sampai besar, saya banyak menimba ilmu secara tidak
formal. Setelah dewasa jawapan kepada pencarian saya terserlah jelas apabila saya temui ilmu yang saya gali selama ini sebenarnya
sudah ada dalam Al-Quran dan Hadis. Kedua-dua sumber ini banyak membantu dan memberi jawapan kepada persoalan yang berlegar-legar
dalam fikiran saya tentang rahsia alam. Begitu juga dengan keterangan-keterangan dalam Hadis seperti khasiat Habbatus Sauda
yang dikatakan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit kerana khasiatnya yang banyak.
Bagi saya, ilmu yang saya miliki ini merupakan anugerah Allah. Saya sering mengaitkanya
dengan agama. Mengikut kajian orang yang tidak banyak bercakap dan lebih banyak diam adalah lebih baik kerana ini menstabilkan
emosi. Hal ini sememangnya dianjurkan dalam agama Islam. Oleh itu, saya menasihatkan remaja sekelian agar memanfaatkan kelebihan
yang ada pada diri kita semaksima mungkin dan gunakan kelebihan yang ada itu untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.